Monday, August 10, 2009

10 JENIS MAKANAN ANTI KOLESTEROL

Info di bawah mungkin boleh memberi manfaat kepada sesiapa yang ingin mengurangkan kolesterol :-

1. Soya

Kacang soya merupakan makanan popular yang diproses untuk mendapatkan kacang soya mengandungi 48% protein, lesitin, vitamin & zat galian. Ia juga dapat menghindarkan penyakit jantung & kencing manis. Kaya kalsium & mineral yang membantu memecah lemak. Ia membantu menyusutkan kadar lemak jahat (LDL) dan meningkatkan kadar lemak baik (HDL).

2. Kuaci

Kuaci mempunyai kandungan zat besi. Pola pemakanan yang rendah dengan zat besi boleh menaikkan kadar kolestrol LDL sekali gus menghadkan kolestrol HDL. Mulakan pengambilan kuaci jenis tawar seperti dari jenis labu atau bunga matahari untuk menambah zat besi serta mengurangkan kolestrol.

3. Buah kering

Antara pelbagai jenis buah kering, limau kering adalah yang paling banyak mengandungi flavanoid. Pengambilannya mampu menyingkirkan lebihan lemak LDL sehingga dapat mengurangkan risiko serangan jantung. Flavanoid juga boleh diperolehi dalam teh, brokoli, tomato, bawang serta delima.

4. Epal

Memakan sebiji epal hijau @ meminum jusnya setiap hari cukup untuk membekalkan khasiat bagi mengurangkan kandungan kolestrol dalam badan. Kanak-kanak yang memakan makanan segera dan kemudian memakan epal @ minum jusnya, sebenarnya menyimbangkan kandungan zat dan mencegah berlaku lemak dalam badan.

5. Ikan tuna

Termasuk sumber asid lemak omega-3 yang popular, selain salmon dan makarel. Omega-3 secara khusus melindungi tubuh daripada peningkatan kadar kolestrol LDL.

6. Kacang tanah

Kacang tanah yang dipanggang mengandungi lemak sihat dan kaya dengan vitamin E. Ia boleh menghalang radikal bebas agar tidak merosakkan kolesterol LDL dan dapat menghindari tubuh daripada serangan jantung.

7. Mangga

Vitamin C banyak terdapat dalam mangga. Sumber lain : belimbing, kedondong, betik, rambutan, strawberi dan kiwi. Vitamin C berupaya mencegah kolestrol LDL dalam tubuh.

8. Kismis

Mengandungi sebatian yang mampu menurunkan kolestrol. Sesiapa yang mengamalkan diet dengan 400 kalori kismis setiap hari boleh menurunkan kadar kolestrol dalam darah sebanyak 8%.

9. Oat

Lebih daripada kajian saintifik yang dijalankan telah menunjukkan bahawa pengambilan oat setiap pagi boleh menurunkan kolestrol dalam darah. Serat mudah larut dalam oat boleh mengurangkan risiko penyakit jantung sekiranya dijadikan sebahagian diet rendah lemah & kolestrol anda.

10. Jambu batu

Ia mampu menurunkan paras kolestrol dalam badan sebanyak 18.8%. Disyorkan mengambilnya stiap hari dalam jumlah mencukupi bagi memastikan khasiatnya bertindak balas kepada tubuh. Jumlah yang disyorkan ialah 400gm sehari, iaitu sebiji setengah selama empat minggu. Bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan tanpa melupakan diet seimbang, jambu batu adalah pilihan yang sesuai.

Tuesday, August 4, 2009

LELAKI ACUAN AL-QURAN

Lelaki acuan Al-Quran ialah seorang lelaki yang beriman,
Yang hatinya disaluti rasa taqwa kepada Allah SWT,
Yang sentiasa haus dengan ilmu,
Yang sentiasa dahaga dengan pahala,
Yang solatnya adalah maruah dirinya,
Yang tidak pernah takut berkata benar,
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu.

Lelaki acuan Al-Quran ialah lelaki yang menjaga tuturkatanya,
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya,
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya,
Yang sentiasa berbuat kebaikan kerana sifatnya yang pelindung, Yang mempunyai ramai kawan,
Dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang.

Lelaki acuan Al-Quran ialah lelaki yang menghormati ibubapanya,
Yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tua dan keluarga,
Yang bakal menjaga kehormonian rumahtangga,
Yang akan mendidik anak-anak dan isteri mendalami Agama Islam,
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan kerana dunia baginya adalah rumah sementara menunggu akhirat.

Lelaki acuan Al-Quran sentiasa mengingati mati,
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat,
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibajai dan dijaga,
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian,
Lelaki yang tidak mudah terpesona dengan buaian dunia kerana dia mengimpikan syurga,
Di situlah rumah impiannya bersama wanita acuan Al-Quran.
WANITA ACUAN AL-QURAN
Wanita acuan Al-Quran ialah seorang wanita yang beriman,
Yang hatinya disaluti rasa taqwa kepada Allah SWT,
Yang sentiasa haus dengan ilmu,
Yang sentiasa dahaga dengan pahala,
Yang solatnya adalah maruah dirinya,
Yang tidak pernah takut berkata benar,
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu.
Wanita acuan Al-Quran ialah wanita yang menjaga tuturkatanya,
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya,
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya,
Yang sentiasa berbuat kebaikan kerana sifatnya yang pelindung,
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang.
Wanita acuan Al-Quran ialah wanita yang menghormati ibubapanya,
Yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tua dan keluarga,
Yang bakal memelihara keharmonian rumahtangga,
Yang akan mendidik anak-anak dan membantu suami mendalami Agama Islam,
Yang auratnya dikhaskan buat suami tercinta,
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan,
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menunggu akhirat.
Wanita acuan Al-Quran sentiasa bersedia untuk agamanya,
Yang hidup di bawah naungan Al-Quran dan mencontohi sifat Rasulullah SAW serta wanita sufi yang digariskan dalam kalamullah,
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara,
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya.
Wanita acuan Al-Quran tidak pernah membazirkan masa,
Matanya kepenatan kerana kuat membaca,
Yang suaranya lesu kerana penat mengaji dan berzikir,
Yang tidurnya lena dengan cahaya keimanan,
Bangun subuhnya penuh dengan kecerdasan,
kerana sehari lagi usianya bertambah penuh kematangan.
Wanita acuan Al-Quran sentiasa mengingati mati,
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat,
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibajai dan dijaga,
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian bersama lelaki.
Wanita acuan Al-Quran ialah wanita yang tidak mudah terpesona dengan buaian dunia,
Kerana dia mengimpikan Syurga,
Disitulah rumah impiannya,
Bersama lelaki acuan Al-Quran ganjaran Allah SWT.
KECANTIKAN LELAKI & KEGAGAHAN WANITA
Kecantikan Lelaki :
Kecantikan seorang lelaki bukan kepada rupa fizikal tetapi pada murni rohani. Lelaki yang cantik adalah :-
1) Lelaki yang mampu mengalirkan airmata untuk ingatan.
2) Lelaki yang sedia menerima segala teguran.
3) Lelaki yang memberi madu, setelah menerima racun.
4) Lelaki yang tenang dan lapang dada.
5) Lelaki yang baik sangka.
6) Lelaki yang tak pernah putus asa.
Kecantikan lelaki berdiri di atas kemuliaan hati. Seluruh kecantikan yang ada pada Nabi Muhammad adalah kecantikan yang sempurna seorang lelaki.
Kegagahan Wanita :
Kegagahan seorang wanita bukan kepada pejal otot badan, tetapi pada kekuatan perasaan. Perempuan yang gagah adalah :-
1) Perempuan yang tahan menerima sebuah kehilangan.
2) Perempuan yang tidak takut pada kemiskinan.
3) Perempuan yang tabah menanggung kerinduan setelah ditinggalkan.
4) Perempuan yang tidak meminta-minta agar dipenuhi segala keinginan.
Kegagahan perempuan berdiri di atas teguh iman. Seluruh kegagahan yang ada pada Khadijah adalah kegagahan sempurna bagi seorang perempuan.

Monday, August 3, 2009

BERDOALAH


Kenapa perlu susah-payah jika semuanya telah pun ditakdirkan? Kenapa harus kecewa sebelum bertemu gembira? Kenapa si dia tidak datang begitu sahaja?
Begitu juga para sahabat nabi, mereka pernah bertanyakan soalan yang hampir sama lebih 1400 tahun yang lalu.
Menurut Ali Abi Talib, pada suatu hari ketika para sahabat sedang menghadiri satu pengkebumian, Rasulullah datang dan duduk berhampiran. Para sahabat kemudian duduk mengelilinginya. Beliau menggenggam sebatang kayu kecil sambil menggores-gores tanah. Rasulullah kemudian bersabda, “Setiap daripada kamu yang diciptakan telah pun ditentukan neraka atau syurganya.” Bertanya salah seorang sahabat, “Kalau demikian, apa perlunya kita beramal ya Rasulullah?”
Mendengar sedemikan, Rasulullah bersabda lagi, “Beramallah, setiap orang akan dipermudahkan oleh Allah kepada jalan yang telah ditetapkan oleh-Nya.” Kemudian beliau membaca surah Al-Lail ayat 5 hingga 10” [1]
Di dalam surah Al-Lail ayat 5 hingga 10, Allah telah berfirman, “Adapun orang yang memberikan (menafkahkan hartanya) apa yang ada padanya ke jalan kebaikkan dan bertakwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya). Dan dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik. Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga). Sebaliknya orang yang bakhil (daripada berbuat kebaikkan) dan berasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya. Dan dia mendustakan perkara yang baik. Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan. ”
Begitulah penjelasan nabi ke atas pengertian takdir dan amalan manusia. Beliau tidak menyuruh para sahabat mempersoalkan ketentuan tuhan, sebaliknya menyuruh mereka memberi fokus kepada usaha dan amalan semata-mata.
Firman Allah di dalam Surah Al-Mulk ayat 2, “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya;”
Hidup ini adalah untuk berusaha dan beramal, bukan untuk mempersoalkan takdir. Jangan ditanya, “kenapa perlu mencari si dia sedangkan si dia telah pun ditentukan” sebaliknya tanyalah diri sendiri “apakah usaha yang telah dicurahkan di dalam perjalanan mencari si dia.”
Wallahu’alam.

Sunday, August 2, 2009

KONSEP PERKAHWINAN

Islam mempunyai konsep perkahwinannya yang tersendiri. Perkahwinan di dalam Islam bukan hanya berdasarkan cinta semata-mata, mencari keseronokan atau memenuhi tuntutan naluri sahaja, tetapi lebih daripada itu; perkahwinan dalam Islam mempunyai matlamat dan tujuan yang lebih luas lagi, sebahagian dari tujuan dan matlamatnya adalah :

* Perkahwinan merupakan suatu Fitrah
* Perkahwinan merupakan suatu Ibadah
* Menjaga Kehormatan
* Sumber Pembangunan Individu dan Negara
* Latihan Kesabaran - suatu Jihad
* Kasih Sayang
* Memperluas Silaturrahim

Matlamat dan tujuan ini perlulah menjadi panduan dan pegangan hidup bersama setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga. Ia perlu dipupuk dan dihayati agar rumahtangga yang dibina dapat menjadi mahligai yang bahagia dan berkekalan di dunia dan akhirat.

Wednesday, July 29, 2009



GARIS PANDUAN HIBURAN DALAM ISLAM
1. TUJUAN
Garis Panduan Hiburan Dalam Islam ini disediakan untuk memberi panduan kepada pihak yang terlibat dalam industri hiburan merangkumi nyanyian, muzik, tarian dan lain-lain. Garis Panduan ini juga akan dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat awam yang menyertai persembahan rancangan hiburan.
2. PENDAHULUAN
2.1. Pada dasarnya Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud:
“Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya idul fitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita.” (Riwayat Ibnu Majah)
Berdasarkan Hadis tersebut, nyatalah bahawa hiburan yang menghiburkan jiwa serta menenangkan hati diharuskan oleh Islam. Ini dinyatakan oleh al-Syeikh Yusuf al-Qardhawi bahawa antara hiburan yang dapat menghibur jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian. Hiburan nyanyian ini diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa. (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal. 273).
2.2 Dalam membincang isu ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke-2 pada 12 – 13 Mei 1981 telah membuat keputusan seperti berikut:
a) Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat[1], tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah[2] adalah harus;
b) Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;
c) Pancaragam yang melalaikan[3] hukumnya haram;
d) Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan
e) Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.
3. KANDUNGAN GARIS PANDUAN
3.1 Garis panduan ini mengandungi perkara-perkara berikut:
3.1.1 Takrif
3.1.2 Program Hiburan
3.1.3 Persembahan Muzik
3.1.4 Lirik Lagu
3.1.5 Persembahan Artis
3.1.6 Persembahan Tarian
3.1.7 Tanggungjawab Penganjur
3.1.8 Kesimpulan
3.2 Takrif
3.2.1 Hiburan
Maksud hiburan ialah sesuatu (perbuatan, benda dll) untuk menghiburkan (menyenangkan, mententeramkan) hati. (Kamus Dewan).
3.2.2 Nyanyian
Maksud nyanyian ialah gubahan muzik yang dilagukan dengan suara. (Kamus Dewan).
3.2.3 Muzik
Maksud muzik ialah gubahan bunyi untuk memperoleh keindahan bentuk dan pernyataan perasaan. (Kamus Dewan).
3.2.4 Tarian
Maksud tarian ialah gerakan badan serta tangan dan kaki berirama mengikut rentak muzik. (Kamus Dewan).
4. GARIS PANDUAN
Garis panduan yang memisahkan sama ada hiburan itu boleh atau sebaliknya menurut Islam adalah sejauh mana hiburan tersebut mencapai maksud dan prinsip Islam yang menekankan ke arah kesejahteraan umat manusia. Antara garis panduan tersebut adalah seperti berikut;
a) Program Hiburan
i. Bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan.
ii. Diadakan di tempat yang bersesuaian supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan orang ramai.
iii. Mengambilkira masa yang bersesuaian dengan sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam.
iv. Tidak disertai oleh perbuatan-perbuatan haram atau maksiat.
v. Tidak mengandungi acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan.
vi. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan atau penyembahan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
b) Persembahan Muzik
i. Tidak menimbulkan gerakgeri liar.
ii. Tidak mendorong kepada perbuatan maksiat.
iii. Tidak melalaikan.
c) Lirik
i. Kalimah syahadah dalam bahasa Arab hendaklah disempurnakan.
ii. Tidak mengandungi sebutan yang boleh membangkitkan nafsu syahwat, perkataan lucah, menggambarkan arak, dan memberi perangsang melakukan dosa.
iii. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan kepada makhluk dan peribadi.
iv. Tidak mengandungi ungkapan-ungkapan yang melanggar adab kesopanan dalam Islam.
v. Tidak mengandungi ungkapan yang melanggar akidah dan syariat Islam.
vi. Tidak mengandungi unsur mengutuk nasib dan lucah.
vii. Tidak mengandungi unsur menghina, mengaib, mencaci, memfitnah dan seumpamanya.
viii. Tidak boleh menjadikan teks al-Quran sebagai lirik.
d) Persembahan Artis
i. Berinteraksi dengan penonton secara sopan dan disertai kata-kata yang boleh membina nilai-nilai kemanusiaan.
ii. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
iii. Tidak melakukan gerak geri dan perkataan yang boleh menimbulkan perasaan yang mendorong kepada maksiat dan menghina Islam.
iv. Tidak mengucapkan kata-kata yang menggalakkan perbuatan maksiat atau menghina agama Islam.
e) Persembahan Tarian
i. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
ii. Gerak tari yang dipersembahkan tidak menimbulkan fitnah.
iii. Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah.
iv. Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan.
v. Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.
f) Tanggungjawab Penganjur
Penganjur hendaklah mempastikan acara hiburan yang dianjurkan menepati garis panduan yang telah disediakan.
5. Kesimpulan
Garis Panduan ini diharap memberikan panduan kepada pihak yang terlibat dalam industri hiburan. Ia juga dijadikan usaha untuk mewujudkan masyarakat yang dapat mengamal dan menikmati hiburan berteraskan nilai-nilai akhlak dan syariat Islam.
RUJUKAN
1. Mausu’ah al-Fiqhiyyah, Wizaratul Auqaf Wa al- Syu’un al-Islamiah,Cetakan Pertama, 1995, Kuwait.
2. Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran, Syeikh Abdullah bin Mohamad Basmeih, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
3. Al-Halal wa al- Haram fi al-Islam, Syeikh Yusuf al-Qardhawi, al-Maktab al-Islami, Cetakan ke-15, Beirut 1994.
4. Kamus Dewan, Edisi Baru, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991.
5. Garis Panduan Muzik, Nyanyian dan Seni Menurut Pandangan Islam, Bahagian Penyelidikan, JAKIM.
6. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-2 pada 12 – 13 Mei 1981.
7. Garis Panduan Penyiaran, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

[1] Sesuatu perbuatan yang haram (Mausu’ah al-Fiqhiyyah)
[2] Cubaan, gangguan, hasutan dan kekacauan (Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran)
[3] Perkataan dan sebagainya yang tidak mendatangkan hasil serta tidak memberi faedah dan manfaat . (Mausu’ah al-Fiqhiyyah)

chili red

ikan oren putih...antara ikan2 kesukaan suamiku...bakal dipelihara bila depan rumah dah ada kolam nanti..?

JODOH

Bagi golongan lelaki, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” [1] Hadith ini telah direkodkan oleh kedua-kedua Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahih mereka serta imam hadith yang lain.
Secara terang Rasulullah s.a.w telah mengarahkan agar seorang lelaki memilih wanita yang beragama sebagai isteri serta menjanjikan kebahagiaan ke atas pilihan yang berasaskan agama.
Bagi golongan wanita pula Rasulullah telah mengenakan dua syarat pilihan iaitu hanya menerima lelaki yang beragama dan berakhlak sebagai suami. Ini menunjukkan Islam amat menjaga kebajikan wanita.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakkan yang besar.” [2]
Di dalam riwayat yang lain, menurut Abu Hatim al-Muzani r.a., selepas Rasulullah s.a.w bersabda seperti di atas, lalu para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah ! Walaupun dia telah mempunyai isteri?” Lalu Rasulullah s.a.w mengulangi, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia!” sebanyak tiga kali. [3]

ISTIGHFAR

.
Rasulullah telah meninggalkan beberapa petua untuk mengubati penyakit lisan. Petua ini berguna untuk mengubati penyakit-penyakit lain seperti suka memfitnah, mengumpat, menipu, bercakap kotor dan sebagainya selain mulut celupar.
Pertama, nabi menyuruh diam. Sahabat Abu Syuraih Al-Khuza’iy r.a. menyatakan bahawa nabi pernah berpesan, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam.”[1]
Kemudian, nabi menyuruh kita berzikir bagi mengimbangi aktiviti lidah. Kebanyakan dari kita menggunakan lidah untuk kemudahan dan kepentingan diri dan terlupa memuji pencipta lidah setiap hari. Kata-kata yang dihasilkan oleh lidah dalam memuji pencipta lidah lebih sedikit berbanding dengan kata-kata yang dihasilkan ketika berkomunikasi sesama kita. Menurut sahabat Ibnu Umar, nabi pernah berkata, “Janganlah kamu banyak bercakap tanpa berzikir kepada Allah, kerana sesungguhnya banyak bercakap tanpa berzikir kepada Allah mengakibatkan kerasnya hati, dan orang yang paling jauh dengan Allah adalah orang yang paling keras hati. [2]
Berhubung dengan zikir, menurut rekod Imam Bukhari, nabi telah menyatakan, “Ada dua kalimat yang paling disukai Yang Maha Pengasih. Sangat mudah diucapkan tetapi sangat berat dalam timbangan. Kedua-dua kalimat itu adalah ’subhanallah wa bihamdihi’ dan ’subhanallah hil azim’.” [3] Kedua-dua kalimat ini membawa maksud ‘Maha suci Allah dan segala pujian kepadaNya’ dan ‘Maha suci Allah yang Maha Besar.’ Di dalam riwayat lain diceritakan, sesiapa yang membaca “subhanallah wabihamdihi” 100 kali sehari, maka semua doasanya diampunkan oleh Allah, meski pun sebanyak buih di lautan. [4]
Ketiga, sahabat Huzaifah r.a. pernah mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang keburukkan yang ada pada lisannya. Maka Rasulullah bersabda, “Bagaimanakah engkau dengan istighfarmu wahai Huzaifah? Sesungguhnya aku beristigfar kepada Allah s.w.t.seratus kali setiap hari.” [5] Istighfar bermaksud memohon ampun. Ucapan istighfar yang dimaksudkan adalah sekurang-kurangnya dengan mengucapkan, “Astaghfirullahazim” disertakan “perasaan menyesal” di dalam hati. Jika nabi yang maksum dan yang baik tutur kata beristighfar kepada Allah sebanyak itu, bagaimana pula agaknya jumlah kuantiti istighfar orang yang mempunyai penyakit lisan

GROUP MARHABAN KG TENAI

GROUP MARHABAN KG TENAI
kami mnerime jmputan,harge bleh runding....

Nukilan anda :


ShoutMix chat widget

Search This Blog